
Mahkamah  Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, memerintahkan Utusan Malaysia membayar  ganti rugi umum dan teladan sebanyak RM250,000 kepada bekas Menteri  Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (tengah) atas saman yang difailkan terhadap akhbar itu berhubung isu pendaftaran nombor plat kereta WWW1, pada tahun lalu.
Peguam Nizar, Fitri Asmuni memberitahu Malaysian Insider, Hakim  Rosnani Saub dalam keputusannya mendapati Utusan Malaysia bersalah  melakukan fitnah terhadap Nizar dan akhbar itu gagal dalam pembelaannya  yang menyatakan bahawa tindakan mereka menyiarkan kenyataan Nizar  menerusi akaun Twitternya itu adalah satu justifikasi, komen berpatutan,  perlindungan bersyarat dan kewartawanan.
"Hakim dalam penghakimannya turut berkata bahawa Nizar dalam  kenyataan itu tidak mempersoalkan dari mana Sultan memperoleh wang  berkenaan, tetapi hanya berkata ia satu pembaziran wang," katanya.
Mahkamah juga, katanya, memerintahkan Utusan Malaysia membayar kos RM30,000.
Fitri berkata, Nizar yang kini berada di Australia sudah dimaklumkan  mengenai keputusan mahkamah itu menerusi teks pesanan ringkas.
Nizar menyaman Utusan berikutan akhbar itu menerbitkan pernyataan  fitnah berhubung pembelian nombor plat kenderaan WWW 1 yang dibida pada  harga RM520,000. Nizar pada 28 Mei tahun lalu mengeluarkan satu  kenyataan melalui akaun Twitter miliknya berhubung nombor plat itu.  Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang  mendakwa pada 30 Mei tahun lalu, TV3 mengeluarkan berita melalui  Buletin Utama jam 8 malam, berhubung kenyataannya itu. Keesokannya pada  31 Mei, Utusan Melayu menerbitkan satu artikel di halaman 11, akhbar  Utusan Malaysia berhubung kenyataannya itu.
Nizar mendakwa pernyataan ftnah itu antara lain membawa maksud bahawa  beliau adalah seorang penderhaka kepada sultan amnya, dan Sultan Johor  khususnya, beliau adalah ahli politik yang anti-sultan dan seorang ahli  politik yang cuba menghasut rakyat untuk membenci Sultan Johor.
Sementara itu, pada April lalu, Nizar kalah dalam tuntutan saman sama  terhadap TV3 dan Fitri memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan  notis tuntutan di mahkamah esok.
Pada Februari 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Utusan membayar  ganti rugi RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  berhubung penyiaran artikel bertajuk `Kebiadapan Guan Eng yang  disiarkan pada 20 Disember 2011.
Pada Januari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang  dalam tuntutan saman terhadap Utusan selepas Hakim Mahkamah Tinggi, VT  Singham mendapati akhbar itu memfitnah Anwar dalam dua artikel. - 4  Julai, 2013.TMI
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar